KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan diharap menghormati objektif penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik di negeri itu, kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.
Menerusi hantaran di laman Instagram hari ini, Sim yang juga Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan negeri ditubuhkan susulan tiada gabungan politik menguasai majoriti, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Advertisement
“Persetujuan Kerajaan Perpaduan adalah mewujudkan kerajaan stabil sehingga tamat penggal.
“Semoga BN Negeri Sembilan menghormati perjanjian tersebut sehingga tamat penggal. Kestabilan dan kesejahteraan rakyat harus diutamakan,” katanya yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Hari ini, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, susulan kemelut pemerintahan yang berlaku.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Setiausaha DUN hari ini.
Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN menguasai 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) dengan lima kerusi.
-- BERNAMA