KEMELUT politik di Sabah bakal menjadi tumpuan hari ini.

Ini kerana dua peristiwa penting akan berlangsung, kedua-duanya berkaitan pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Pada sebelah pagi, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan menentukan sama ada keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Pada sebelah petang pula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh PRN.

Di mahkamah tinggi, Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim akan membuat keputusan berhubung permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.

Isu dibawa ke mahkamah pada 7 Ogos lalu oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam bekas Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman dan 32 ADUN yang lain.

Pada 29 Julai, semua 33 ADUN berkenaan termasuk Musa mendakwa mereka membentuk majoriti di DUN dan mahu Juhar mengadakan majlis angkat sumpah kerajaan baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan ADUN Senallang mendahului langkah Musa dengan menasihati Juhar agar membubarkan DUN yang ketika itu mempunyai 65 ahli iaitu 60 dipilih dan lima dilantik.

Berikutan pembubaran DUN itu, SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan PRN.

Mesyuarat khas SPR pada Isnin dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom akan mempengerusikan mesyuarat dan mengadakan sidang media pada 4 petang.

Beliau dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting urusan pilihan raya seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih terakhir diperakui yang akan digunakan serta persiapan lain, dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.

PRN Sabah akan menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan, tambahan 13 kerusi berbanding 60 pada pilihan raya terdahulu selepas Dewan Rakyat meluluskan syor SPRpr agar kerusi DUN Sabah ditambah.