Jika sebelum ini hanya sekadar spekulasi, kini Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sah bertanding di kerusi Parlimen Lumut sambil mengekalkan kerusi Dun yang ditandingi sebelum ini.

Sebelum ini spekulasi beliau ke Parlimen itu menyebabkan ramai beranggapan Perak bakal mendapat menteri besar baharu kerana beranggapan hanya satu kerusi akan ditandingi berdasarkan tradisi sebelum ini.

Tetapi kali ini, Zambry memecahkan tradisi itu dengan bertanding di kedua-dua kerusi bagi Parlimen dan Dun.

Mengikut kebiasaannya, ‘panggilan’ mana-mana menteri besar ke Parlimen ini merupakan signal untuk dilantik sebagai menteri kabinet tetapi adakah Zambry akan menyertai kabinet?

Berdasarkan kenyataan-kenyataan sebelum ini, Zambry menegaskan akan kekal menerajui Perak sebagai menteri besar dan ia sekaligus menafikan khabar bahawa beliau akan menyertai kabinet.

Sebenarnya, penglibatan Zambry di peringkat pusat bukanlah baharu kerana banyak tugasan diberikan kerajaan pusat kepadanya.

Malah di peringkat parti sendiri, beliau memang terlibat secara langsung dalam menentukan dasar-dasar parti selain terlibat dalam membuat ucapan-ucapan dasar presiden.

Lebih besar lagi, Zambry yang merupakan bekas pensyarah pernah terlibat dalam satu misi antarabangsa di Turki seperti yang diketahui umum.

Sama ada beliau menjadi menteri kabinet atau tidak, tugasnya di peringkat pusat memang sudah lama dilakukan dan ia berjaya dilakukan dengan baik.

Melihat kepada kenyataan penganalisis politik, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Zambry dilihat sesuai menerajui portfolio berkaitan pendidikan sama ada Menteri Pendidikan atau Menteri Pendidikan Tinggi yang memang dinanti-nantikan oleh warga pendidik.

Bukan faktor ketandusan calon

Pembangkang sebelum ini juga memperlihatkan kedangkalan mereka apabila melihat pencalonan anak Pulau Pangkor itu di dua kerusi sebagai bukti BN ketandusan calon.

Tanpa memandang rakan komponen mereka dalam Harapan mereka yang turut bertanding dua kerusi seperti Pengerusi DAP, Nga Kor Ming; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali malah yang empunya diri, Pengerusi Harapan Perak, Ahmad Faizal Azumu turut bertanding dua kerusi, di Parlimen Tambun dan Dun Chenderiang.

BN dilihat tidak ketandusan calon sebaliknya misi mereka merampas kembali kerusi Parlimen Lumut yang disandang pembangkang pada PRU13.

Harapan dilihat sukar untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi PKR pada PRU lalu selepas penyandangnya, Laksamana (B) Mohammad Imran Abdul Hamid ‘dilarikan’ ke kerusi Dun Bukit Chandan setelah kerusi itu diberikan kepada Amanah.

Ia diakui sendiri beberapa pengerusi PKR di peringkat Cabang dalam sidang media beberapa hari lalu yang kesal dengan pembahagian beberapa kerusi kepada parti komponen lain.

Kehadiran susuk tubuh Zambry ke Parlimen penting untuk memastikan beliau boleh bersama-sama berhujah di dalam Dewan Rakyat bersama-sama wakil pembangkang yang datang daripada Perak.

Sebelum ini, banyak isu-isu di peringkat negeri dibangkitkan di Parlimen oleh wakil-wakil rakyat pembangkang dengan pelbagai manipulasi fakta dan fitnah.

Malah isu di peringkat nasional juga turut dibawa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri memandangkan ada Adun-Adun yang merupakan Ahli Parlimen.

Oleh sebab itu, wajarlah Zambry ke Dewan Rakyat bagi bersemuka dengan Adun-Adun pembangkang khususnya dari DAP bagi menjawab segala permainan dan manipulasi mereka.

Kita boleh lihat bagaimana isu GST dan beberapa isu di peringkat nasional dibawa dalam perbincangan Dewan Undangan Negeri yang hanya membazirkan masa yang diperuntukkan untuk membahas isu negeri.

Maka, memang wajarlah Zambry ke Parlimen, sama ada dipilih menjadi menteri atau tidak, tugasnya di peringkat pusat memang menanti.

Persoalan yang timbul, jika disuratkan menjadi menteri, siapa pula nak jadi MB!