KUALA LUMPUR: 'Tidak salah untuk override sesuatu keputusan.'

Itu yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa bercanggah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan UMNO tahun ini.

"Dalam peruntukan undang-undang ada kuasa RoS yang akan dikemukakan kepada menteri dan kuasa menteri, jadi biar menteri jelaskan dan menteri sudahpun jelaskan.

"Biasa saya dalam kerja saya di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan, ada kalanya saya override (batalkan) keputusan pegawai.

""Umpamanya dulu pegawai diarah untuk memberi kontrak ikut rundingan terus, saya override kerana saya fikir lebih baik kita gunakan proses tender yang lebih telus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Festival Taman Kuala Lumpur di Taman Tasik Titiwangsa pada Khamis, di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Ahli Majlis Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa Saifuddin memberi penjelasan mengenai kewujudan sepucuk surat yang didakwa dikeluarkan RoS berhubung pemilihan UMNO.

Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen PN itu mendakwa RoS berpandangan usul tambahan berkenaan tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas, menegaskan jika surat itu tulen, ia bertentangan dengan kenyataan media Saifuddin Nasution hari ini, yang memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Namun demikian, pada Sabtu lalu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya sudah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri, yang mengesahkan bahawa RoS menerima usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti.

Menurut Zahid, UMNO menerima surat dua halaman itu bertarikh 3 Mac lalu.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Zahid untuk mendedahkan surat berkenaan.

Susulan itu, Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya akan mendedahkan surat RoS berkenaan bagi menoktahkan polemik berkaitan usul tambahan PAU 2022 yang menghalang pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.