KUALA PILAH: Segala dasar kerajaan terdahulu yang memberi manfaat kepada rakyat akan diteruskan di bawah pentadbiran kerajaan negeri, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Beliau berkata tiada keperluan untuk menghentikan sesuatu dasar sekiranya ia terbukti memberi manfaat dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Itu mesti. Dasar yang baik tak perlu kita tamatkan. Kita teruskan.
“Asalkan ia berpaksikan kepada kepentingan rakyat, tiada isu. Kita kena teruskan,” katanya pada sidang media selepas upacara angkat sumpah serta Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail menegaskan kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan sebagai Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan.
Beliau berkata, tiada kejanggalan untuk meneruskan hubungan itu memandangkan Barisan Nasional masih merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.