Tun Daim Zainuddin tidak menolak kemungkinan Kerajaan Pas Kelantan akan tumbang selepas 9 Mei nanti.

Tanpa menamakan parti yang menjadi pengganti, bekas menteri kewangan yang memberi sokongan kepada Pakatan Harapan itu berkata, ia berlaku disebabkan pendekatan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengelirukan ahli Pas sendiri.

“Hadi sendiri mengaku bekerjasama dengan UMNO, ahli Pas keliru, orang muda mahukan kerajaan bersih dan bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di sini pada Ahad.

Beliau berkata, momentum dan sokongan rakyat menjurus kepada Harapan, manakala UMNO sudah diketahui mempunyai masalah dalaman.

Terdahulu dalam kenyataannya, Daim berkata, beliau sama sekali tidak boleh menerima tindakan kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) walaupun mengakui pernah mencadangkan perlaksanaannya pada 1986.

Menurutnya, mekanisme GST sekarang bukan sahaja tidak membantu rakyat, malah membebankan orang ramai dengan kenaikan harga barangan berterusan.

“GST juga dilaksanakan negara lain, malah di Eropah kadarnya lebih tinggi, tetapi mereka tidak bising kerana kerajaan mengembalikan wang itu kepada rakyat dengan pelbagai pendekatan. Contohnya memberi pendidikan percuma.

“Tetapi di negara ini ia tidak berlaku, rakyat marah harga barangan naik. Kalau kita boleh 57 tahun hidup tanpa GST kenapa kerajaan dakwa kata kita boleh mati disebabkan tidak ada GST,” katanya.