KUALA LUMPUR:Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hairan dengan tindakan UMNO menggesa agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada penghujung suku pertama tahun ini, sedangkan negara dijangka hanya mampu keluar daripada kemelut COVID-19 pada Julai tahun depan.

Memetik kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bahawa Malaysia bakal mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19 dalam tempoh 18 bulan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, tindakan UMNO itu cukup menyedihkan. 

"Amat menyedihkan untuk betapa rendahnya parti politik yang pada suatu masa dahulu, memimpin negara kita untuk mencapai kemerdekaan dan membentuk Malaysia ini telah jatuh, dengan pemimpin semasanya yang telah lupa bagaimana pemimpin terdahulu parti ini berkorban dan berjuang untuk negara, sebaliknya mereka pula hanya obses dengan menggunakan slogan perpaduan Melayu untuk kepentingan peribadi dan bukannya negara ataupun kaum.

"Hasilnya, UMNO telah ditolak oleh pengundi Malaysia dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018 dan kini terlibat dengan siri pelbagai rancangan dengan Bersatu dan Pas untuk cuba memastikan pemimpinnya berjaya mengelakkan diri daripada penjara atas pertuduhan rasuah dan kleptokrasi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Kit Siang yang juga Penasihat DAP turut membangkitkan mengenai jumlah kes dan kematian terkumpul di Malaysia menjelang Julai 2022.

"Ini merupakan satu hari yang menyedihkan untuk Malaysia, sebelum menerima penghantaran pertama vaksin ini sekalipun, kita telah mengatasi kedudukan China, negara di mana wabak ini mula tular dengan lebih daripada 40 kali ganda jumlah penduduk, dan juga kedudukan Myanmar juga.

"Kita sekarang adalah negara ketiga di ASEAN dengan jumlah kes tertinggi selepas Indonesia dan Filipina," tambahnya. 

UMNO tetap inginkan PRU15 disegerakan


Katanya, berdasarkan jangkaan Kementerian Kesihatan, Malaysia akan mengatasi kedudukan Filipina menjelang hujung Mei, menjadikan Malaysia negara kedua dengan kes terkumpul tertinggi di ASEAN selepas Indonesia dan menjadikan Malaysia di antara 30-40 negara dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia.

"Kita tidak seharusnya menjadi di antara 30 dan 40 negara teratas di dunia, sebaliknya kita sepatutnya berada di kedudukan yang rendah di antara 130 ke 150 di selepas Thailand yang kini berada di tempat ke-132 dengan hanya 8,966 kes Covid-19 dan 65 kematian.

"Bilakah kerajaan akan memulakan strategi dan pendekatan yang melibatkan 'keseluruhan kerajaan' dan 'keseluruhan masyarakat' dalam perang melawan wabak COVID-19-19 ini? soalnya lagi.