Penularan video Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak akan menjejaskan jentera kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata terdapat percubaan untuk memecah-belahkan parti komponen PH dan tiada siapa akan mendapat kebaikan daripada tindakan itu.

"MB (Ahmad Faizal) mengatakan ia telah diambil di luar konteks. Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku tetapi menerima sebagai kata-katanya dan jika ada apa-apa untuk diteruskan, ia akan dilakukan selepas pilihan raya kecil ini," katanya kepada pemberita selepas Forum Belanjawan 2020 di Kukup, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Penolong Setiausaha Publisti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin, yang juga Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata parti itu mahu memberi tumpuan penuh untuk memenangi pilihan raya kecil itu berbanding dengan isu-isu lain.

Terdahulu, rakaman video itu, Ahmad Faizal dilaporkan berbincang dengan sekumpulan penduduk bagaimana beliau seorang terpaksa berdepan dengan DAP berhubung isu-isu termasuk tanah orang Melayu.

BACA: Kenyataan MB Perak mengenai DAP pandangan peribadi - Muhyiddin

BACA: Armada Perak selar tindakan muat naik video kenyataan Ahmad Faizal

Klip video berdurasi 2.47 minit itu dipercayai dirakamkan semasa kempen PRK Tanjung Piai dengan calon PH, Karmaine Sardini turut kelihatan dalam klip tersebut.

-- BERNAMA