PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan 'Langkah Dubai' yang didakwa digerakkan oleh segelitir pihak, tidak akan memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, Perdana Menteri juga tidak mahu mengambil 'pusing' mengenai usaha tersebut, sebaliknya memberi fokus kepada usaha membangunkan negara dan menjaga kesejahteraan rakyat.

"Saya baca mengenai 'Langkah Dubai' tetapi bagi saya kita tumpu soal kerja.

"Itu kerja mereka (pihak tertentu), tetapi bagi saya tidak beri kesan (Kerajaan Perpaduan) dan yang penting kita sudah mula 2 Januari lancarkan satu program penting bagi rakyat.

"Tumpuan kita bangunkan negara dan jaga rakyat," katanya selepas Majlis Peluncuran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Perdana Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Ditanya mengenai statusnya sebagai Perdana Menteri, Anwar bersyukur kerana sehingga hari ini beliau masih menggalas jawatan nombor satu negara.

Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan ‘Langkah Dubai’ sebaik sahaja beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan gerakan berkenaan tiba ke tempat pertemuan di bandar raya itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau turut menerima laporan selepas pertemuan itu selesai dan berpendapat usaha berkenaan hanya membuang masa.