Calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran menerima kekalahan bagi kali ketiga dengan hati terbuka apabila tewas kepada pesaing utamanya Ramli Mohd Noor daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands malam tadi

Manogaran, 61 berkata beliau berharap Ramli Mohd Noor yang telah diberi mandat oleh pengundi parlimen itu akan menjalankan tugasnya dengan baik dan membawa segala permasalahan berbangkit disuarakan ke parlimen kelak.

"Kami menerima keputusan pengundi dan saya mengucapkan tahniah kepada Tuan Ramli atas pencapaiannya. Saya berharap beliau akan menjalankan tanggungjawab sebagai anggota parlimen Cameron Highlands dan mewakili semua penduduk Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pada pukul 8 malam di Bilik Operasi Pakatan Harapan PRK Cameron Highlands di Brinchang di sini.

Manogaran yang dilihat sugul berkata pihaknya mengadakan sidang media sebelum pengumuman rasmi keputusan dibuat kerana telah menjangkakan kekalahan itu.

"Kami telah memperoleh semua keputusan tidak rasmi. Walaupun kalah, saya berpendapat bahawa ada perkara-perkara positif untuk diambil perhatian di sini, katanya.

"Kami telah menembusi kawasan Orang Asli terutama di Jelai, Ia menunjukkan bahawa pada masa akan datang, kami akan memperolehi sokongan lebih baik di sana," katanya ketika menarik perhatian kepada lima kawasan Orang Asli - Pos Senderut, Pos Titom, Pos Betau, Pos Lanai dan Pos Lenjang.

Manogaran turut berjanji akan terus berkhidmat sebagai penyelaras PH Parlimen Cameron Highlands di kedua-dua DUN - Tanah Rata dan Jelai.

Sementara itu, Ramli Mohd Nor yang memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua pengundi yang memberi mandat dan kepercayaan kepada beliau.

Dalam sidang media ringkas sejurus selepas keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di sini, Ramli turut berterima kasih kepada jentera BN yang berusaha keras dalam memastikan kemenangan beliau.

"Saya bersyukur kerana dengan izin Allah saya memenangi kerusi ini. Terima kasih kepada jentera BN, iaitu MIC,MCA, tidak lupa juga kepada PAS. Insya Allah saya berjanji kepada masyarakat di Parlimen Cameron Highlands," kata beliau secara ringkas.

Ramli meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH M.Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee yang memperoleh 276 undi.

Dengan kemenangan ini, BN mengekalkan penguasaannya di kerusi Parlimen Cameron Highlands buat penggal kelima berturut-turut sejak 2004 menerusi calon MIC.

Sementara itu, calon Bebas Wong Seng Yee berkata beliau telah bersedia menerima kekalahannya termasuk hilang deposit dan juga tidak akan mematahkan semangatnya untuk berbakti kepada petani di Cameron Highlands.

"Saya ada pelan untuk membantu mereka (petani) dalam skala kecil, dan diharap Ramli akan membantu membangunkan ekonomi masyarakat di sini," katanya yang menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 sekiranya keadaan mengizinkan.

Seorang lagi calon Bebas Sallehudin tidak dapat ditemui Bernama untuk mendapatkan reaksinya.

-- BERNAMA