Barisan Nasional (BN) mencalonkan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad sebagai calon Menteri Besar Perak yang baharu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, telah mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi menyembah maklum surat yang diutus Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya dititahkan mengadap Sultan, iaitu untuk saya persembahkan surat daripada Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN kepada Sultan.

“Ia untuk memaklumkan BN bersetuju menubuhkan sebuah kerajaan bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak.

“Kedua, dalam surat yang sama, Ahmad Zahid telah memaklumkan bahawa BN mencadangkan Pengerusi BN Perak dan ADUN Kota Tampan untuk dipertimbangkan oleh Tuanku sebagai Menteri Besar Perak,” ujar Saarani ketika ditemui media di pekarangan Istana Kinta di sini hari ini.

Beliau dilihat keluar dari Istana Kinta sekitar jam 10.55 pagi selepas terdahulu mengadap Sultan Perak, difahamkan dalam pertemuan yang mengambil masa kurang 30 minit.

BACA: Faizal Azumu letak jawatan MB, kerajaan Perak bubar serta merta

BACA: PH terkubur di Perak, 32 ADUN bentuk kerajaan baharu

Saarani bercakap kepada media selepas keluar dari Istana Kinta. - Foto Bernama

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria yang dilihat keluar sejurus selepas itu enggan mengulas panjang berkenaan cadangan calon Menteri Besar dari Pas.

“Tunggu (pengumuman) Tuanku. Saya serah pada Tuanku. (Siapa) calon pun, tunggu Tuanku. Insya-Allah,” jawabnya ringkas.

Sehingga kini, masih menjadi teka-teki siapakah yang bakal menduduki kerusi Menteri Besar Perak.

BACA: Mana Menteri Besar Perak? - Exco Negeri

BACA: Faizal Azumu masih MB Perak - Nizar Jamaluddin