KUALA LUMPUR: Dua parti komponen Barisan Nasional (BN), iaitu MCA dan MIC akan berpegang kepada keputusan Dewan Tertinggi BN tahun lepas, iaitu terus menyokong Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum seterusnya.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sokongan itu juga selari dengan apa yang telah diputuskan oleh Biro Politik MCA, seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Tambah Ahli Parlimen Ayer Hitam itu lagi, MCA kekal komited untuk memberi tumpuan kepada soal pengurusan pandemik COVID-19, krisis ekonomi, serta kesejahteraan rakyat di negara ini.

“Kita sedia maklum iaitu Biro Politik MCA telah membuat ketetapan, kita membawa apa jua ketetapan BN yang diluluskan tahun lalu, dan ketika itu (keputusan tersebut) bertujuan untuk menyertai Kerajaan Perikatan Nasional sehinggalah PRU akan datang.

“Selagi keputusan itu kekal, kita rasa terpanggil untuk membawa pendirian ini bersama-sama dengan rakan seperjuangan dalam BN, dan kita beranggapan kita perlu mementingkan rakyat, soal COVID-19 kita uruskan, dan akhirnya rakyat akan buat keputusan,” katanya lagi.

BACA: 31 Ahli Parlimen UMNO, BN terus sokong Kerajaan pimpinan Muhyiddin - Ismail Sabri

Seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN sokong Kerajaan PN


Beliau berkata demikian dalam sidang khas bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, serta sejumlah Ahli Parlimen BN yang lain di ibu negara, awal hari ini.

Dalam sidang media tersebut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, sejumlah 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN, berpegang kepada Titah Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan keabsahan kerajaan melalui Sidang Dewan Rakyat, pada September ini.

[TERKINI] Sidang Media Ahli-Ahli Parlimen UMNO


Selain usul percaya atau tidak percaya itu dibahas dan diputuskan, beliau berkata, mereka akan terus menyokong kepimpinan sedia ada.

Pada Selasa lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Selain itu, beliau berkata, MKT juga mendesak agar Muhyiddin meletak jawatan sebagai PM segera, atas dakwaan gagal menguruskan krisis COVID-19, serta ingkar kepada Titah Agong untuk dibahaskan Proklamasi Darurat serta Ordinan berkaitan dalam Sidang Dewan Rakyat.

Pada sidang media yang sama, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan berkata, partinya agak kabur tentang apa yang bakal berlaku sekiranya kerajaan ditumbangkan pada masa ini.

“Maka dengan 41 Ahli Parlimen BN, apa hala tuju kita? Ini satu soalan yang saya sebagai wakil rakyat perlu jelaskan kepada ahli parti.

“Dengan kes COVID-19 meningkat, ekonomi terjejas, krisis politik.. Kita sedia mengikut (keputusan keluar kerajaan) tak ada masalah. Tapi keputusan kena buat di peringkat BN dan kena ada perancangan seterusnya,” katanya lagi.