Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menantikan sentuhan drastik Datuk Seri Mohamad Hassan bagi menenangkan kembali ketidak tentuan yang berlaku di dalam parti itu.

Mengulas keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas kepada Mohamad, Ketua Biro Undang-Undang UMNO itu mahu Mohamad bertindak segera bagi meredakan kemelut yang melanda parti itu.

"Saya percaya seluruh ahli-ahli UMNO menantikan sentuhan drastik dari Datuk Seri Mohamad Hassan bagi menenangkan kembali ketidak tentuan yang berlaku di dalam parti ini.

"Justeru diharap beliau mampu untuk bertindak segera bagi meredakan kemelut yang melanda sekaligus menggariskan hala tuju yang jelas kepada seluruh kepimpinan parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, keputusan Ahmad Zahid itu perlu disambut baik oleh semua ahli-ahli UMNO sebagai langkah yang tepat dan berani.

"Saya percaya bukan mudah untuk beliau membuat keputusan tersebut namun beliau telah menunjukkan kematangan dalam politik dan bersikap profesional," katanya.