KUALA LUMPUR : Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran menafikan laporan yang mengatakan bahawa salah satu manifesto yang dibawa parti tersebut adalah membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari penjara.

Beliau menafikan perkara itu sebagai mengulas laporan sebuah portal yang mengatakan bahawa Perhimpunan Agung Tahunan MIC telah mengemukan resolusi berkenaan sebagai mengenang jasa Najib kepada negara khususnya masyarakat India. 

"Ia tidak terdapat dalam manifesto dan laporan itu tidak mewakili MIC," katanya memetik laporan Malaysiakini pada Isnin.

Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-76 hari ini dirasmikan oleh Pengerusi Barisan Nasioanal (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam perhimpunan berkenaan, MIC berkesempatan melancarkan manifesto buat masyarakat India sempena dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka berlaku dalam tempoh 60 hari akan datang.

Vigneswara dalam perhimpunan berkenaan turut memberitahu bahawa 70 peratus calon parti itu adalah terdiri dari kalangan muka baharu.

Tanpa mendedahkan nama, beliau berkata pemimpin dalam parti itu akan diberikan keutamaan.

Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.