KUALA LUMPUR : Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara menolak perletakan jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana pertuduhan kes rasuah terhadap Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden dan bukannya kapasiti peribadi.

"MPT memohon semua ahli dan penyokong bersabar dan bertenang dalam menghadapi ujian yang besar terhadap presiden dan parti Bersatu dengan fitnah dan kezaliman," jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA: Muhyiddin Yassin bukan Najib Razak - Wan Ahmad Fayhsal

BACA: 
Perhimpunan solidariti Muhyiddin: Penganjur, penyokong akan dipanggil - Polis

Pada Jumaat, Muhyiddin memaklumkan kedudukan beliau sama ada kekal atau tidak sebagai Presiden Bersatu akan ditentukan oleh MPT.

Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Dalam pada itu, Hamzah turut mengesahkan  menerima laporan sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu) dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang selesai mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) masing-masing.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada sayap baharu Srikandi Muda yang berjaya menganjurkan konvensyen pertama mereka pada hari yang sama.