Ruang untuk berucap telah digunakan terlebih dahulu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat lain, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, tegas Ahmad Zahid, tidak timbul isu UMNO langsung tidak memberi sebarang ruang atau peluang kepada Timbalan Presiden parti itu untuk 'bersuara' dalam Perhimpunan Agung parti itu.

"Ini bukan soal defence (oleh Muhyiddin) dalam perhimpunan, tetapi ruang itu telah digunakan terlebih dahulu di tempat lain. Malah, ada siaran langsung lagi. Jadi saya fikir inilah masanya Perdana Menteri yang jawab bukan orang itu jawab.

"Sebagai pemimpin yang bijaksana, beliau harus berikan tumpuan kepada satu dua individu tetapi tentunya ia sebagai panduan umum untuk peringkat kepimpinan tetapi tentu 'kepedasan' itu terasa apabila cili dimamah," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga berharap keputusan yang dibuat Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam perlu dihormati pihak berkenaan.

"Kalau mahu membuat tradisinya (beliau) tidak akan membuat perhimpunan di luar perhimpunan. Tradisinya mesti ada perbincangan dalam perhimpunan. Semuanya itu kerana dibuat untuk berada di luar tradisi.

"Kemudian mempertikai tradisi itu semula saya rasa tidak adil. Tradisi hanya merupakan satu konvensyen. Ia tidak tertera dalam peraturan dan perlembagaan sebagai mutlak. Apa yang diputuskan MT malam tadi harus dihormati," ujar Timbalan Perdana Menteri itu.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal tidak akan berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Sebaliknya, hanya Presiden yang akan menyampaikan ucapan penggulungan Sabtu ini.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Khas UMNO.

Muhyiddin pada Isnin hadir pada majlis khas 'Bersama Timbalan UMNO, Tan Sri Muhyiddin' yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang dihadiri lebih 5,000 orang.

Dalam ucapannya, beliau membangkitkan pelbagai isu termasuk berkaitan UMNO, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion.

Antara yang turut hadir mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal, dan bekas bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Padang Matsirat Anina Saadudin.