Kemunculan Datuk Seri Fadillah Yusof di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menimbulkan tanda tanya.

Ia apabila Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu enggan memberi respon tujuan beliau ke situ.

“Saya tidak akan komen,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Timbul persoalan sama ada Ahli Parlimen Petrajaya itu hadir atas kapasiti Ketua Whip GPS atau hanya atas kapasiti peribadi.

Sebelum ini, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengesahkan bahawa gabungan itu memberi sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan.

BACA: Muhyiddin wakili Perikatan Nasional: GPS, STAR juga bersama?

Bagaimana pun, salah satu komponen GPS iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) menerusi Presidennya, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata sokongan GPS tidak akan berpihak kepada pakatan yang dianggotai DAP.

James turut mendedahkan satu mesyuarat tertutup melibatkan semua pimpinan GPS dan ahli Parlimen GPS, akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Ahad.

Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) berada bersama pemimpin politik lain di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto PPBM