KUALA LUMPUR : Badan Perhubungan UMNO Selangor tidak meletakkan nama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam senarai calon yang diserahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, nama-nama calon dikemukakan oleh badan perhubungan negeri masing-masing sebelum disaring oleh pucuk pimpinan parti.

"Jadi terpulang kepada Badan Perhubungan (negeri) masing-masing untuk menamakan (calon), tapi di sini menyaring dan mana yang sesuai.

"Kita (kepimpinan utama BN) bincang semula dengan Badan Perhubungan dan secara persetujuan bersama kita akan memilih calon terbaik wakili parti," katanya kepada media selepas menghadiri majlis pengumuman calon BN PRN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat malam.

Mohamad mengulas demikian bagi menjawab soalan mengenai Tengku Zafrul, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kota Raja, yang tidak tersenarai sebagai calon BN.

Sementara itu, ditanya sama ada akan ada tambahan calon baharu, Mohamad berkata: “Wallahualam… Kadang kala watikah tukar, jadi kita tak tahulah.”

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengumumkan senarai nama calon rasmi tidak menyenarai nama Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri.

Nama Tengku Zafrul sebelum ini disebut-sebut antara yang akan dipertaruhkan bagi mewakili BN pada PRN di Selangor.

Sebanyak 12 kerusi dipertandingkan oleh BN bagi DUN Selangor.

Selain itu, BN meletakkan calon di 14 kerusi DUN Kedah: Kelantan (31 kerusi); Terengganu (27 kerusi); Pulau Pinang (enam kerusi); manakala Negeri Sembilan (17 kerusi).