Pemansuhan Akta Hasutan boleh menjadikan Malaysia berada dalam keadaan huru-hara, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata sebelum ini kerajaan telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akta buang daerah yang mana menyebabkan peningkatan berbagai jenis jenayah.

Katanya, jika kerajaan meneruskan hasrat memansuhkan Akta Hasutan, situasi yang akan berlaku ialah rakyat akan bebas menghasut sehingga kepada hasutan untuk meminda Perlembagaan dan penghapusan institusi beraja.

"Pelampau di kalangan rakyat bebas mengkritik raja dan sistem beraja secara terbuka dan akhirnya membuat desakan supaya institusi raja dihapuskan.

"Hasutan walaupun ada dilakukan tetapi tidak melampaui batas," katanya menerusi blog chedet.cc.

Beliau berkata, jika Akta Hasutan dimansuhkan, tidak ada undang-undang yang boleh digunakan untuk menahan mana-mana individu yang menghasut.

"Tidak ada undang-undang yang boleh menahan mereka setelah ISA dan Akta Hasutan dimansuh.

"Ramai mungkin yang akan marah terhadap hasutan untuk menghapuskan sistem beraja. Tetapi kerana hasutan dibenarkan, mereka yang berminat untuk mendirikan Republik Malaysia berhak dan bebas meneruskan kempen mereka," katanya.

Katanya, pengguguran Akta Hasutan juga menyaksikan rakyat lebih bebas menghasut tanpa sebarang sekatan kerana kedua-dua akta baru itu tidak akan menghalang hasutan yang akan berlaku.

"Kemungkinan huru-hara akan berlaku dalam negara. Inilah kesan sikap liberal yang kita agungkan," katanya lagi.