PAS Selangor akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri namun menafikan penglibatan dalam Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira persetujuan bersama PAS pusat.

"Semua Exco di negeri ini juga akan bertugas seperti biasa termasuk urusan pentadbiran yang melibatkan wakil DAP.

"Di Selangor kita masih tertakluk dengan PKR, tetapi dalam pengurusan pentadbiran kita menerima DAP dalam pengurusan selagi Menteri Besar memutuskan itu kaedah untuk persamaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Yunus berkata demikian ketika mengulas kedudukan PAS Selangor di negeri itu selepas penubuhan Pakatan Harapan pada Selasa.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan gabungan baru itu selepas Persidangan Meja Bulat Pembangkang.

Katanya, penubuhan Pakatan Harapan merangkumi tiga parti politik iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sekali gus merupakan ganti kepada Pakatan Rakyat yang "tidak lagi berfungsi".

Dalam pada itu kata Ahmad Yunus yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, kerjasama itu akan disemak semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Kedudukan parti amanah negara di dalam Pakatan Harapan juga masih samar kerana pendaftarannya yang belum disahkan oleh Pertubuhan Pendaftar (RoS)," jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata kedudukan Exco daripada PAS masih kekal di negeri itu.

Jelas Azmin, penubuhan Pakatan Harapan tidak seharusnya dijadikan isu untuk mengubah kedudukan PAS dalam sistem pentadbiran negeri.

Selain Ahmad Yunus, dua lagi anggota Exco PAS negeri ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang merupakan pesuruhjaya PAS Selangor (Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar) serta Zaidy Abdul Talib (Exco Infrastruktur Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).