Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau menyangkal dakwaan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh yang mengatakan Pas bersikap tamak kerana mencadangkan calon Speaker DUN.

Mohd Azam Samat berkata, tindakan Pas mencadangkan calon Speaker daripada pihak mereka tidak boleh dinilai sebagai tamak.

Katanya, jawatan Speaker bukan khusus kepada sebelah pihak kerajaan sahaja untuk membuat cadangan, tetapi peraturan membenarkan sesiapa sahaja kalangan ahli dewan untuk mencadang.

"Maka, Pas hanya mengambil peluang yang dibenarkan undang-undang tubuh kerajaan negeri yang sedia ada," katanya.

Menurut Mohd Azam, pihak kerajaan tidak perlu terus memburukkan kepimpinan Pas.

"Kepimpinan Pas terlalu sibuk memenuhi manifesto yang dijanjikan kepada rakyat.

"Kebajikan dan masalah mereka terus diberikan fokus walaupun selepas PRU kerana ada kawasan tertentu adalah milik Pas," katanya.

Mohd Azam berkata, sepatutnya kerajaan dan parti komponen dalamnya yang perlu menjuarai isu-isu rakyat.

"Tunaikanlah manifesto ketika PRU mereka kepada rakyat dan bukannya menuding jari atau berbalah merebut jawatan selepas menang," katanya.

Katanya, Pas menerima keputusan pemilihan Speaker dengan terbuka, ruang yang ada dimanfaatkan dan akan melaksanakan tugas sebagai ADUN dengan mandat dan kepercayaan yang diberikan rakyat.

"Semua ADUN Pas akan menjadi mata dan telinga kepada seluruh rakyat untuk melihat dan memantau kerajaan negeri hari ini.

"Kita akan memberikan nasihat, teguran, pandangan dan saranan untuk kepentingan rakyat," katanya.

Tambahnya, jika perkara yang dilaksanakan kerajaan memberikan kebaikan, sudah pasti Pas akan memberikan sokongan.