KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti sebelum ini yang mahu memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata langkah itu perlu diambil, lebih-lebih lagi selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan, memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya mengikuti banyak perkara-perkara yang melibatkan politik, kita bincangkan isu paling hangat soal hubungan dengan Bersatu yang telah diputuskan (MKT). Kita semua sepakat, Pemuda UMNO mendukung dan menyokong keputusan MKT. Maknanya sebulat suara. 

"Kebetulan pula dalam kita berbahas dan bersidang ini, baru sahaja tadi Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata untuk bertanding semua kerusi yang UMNO tandingi.

"Maknanya apa? Memang jelas beliau (Muhyiddin) beri isyarat, beliau tidak akan kompromi dengan kerusi yang tidak boleh kita (UMNO) kompromi. Beliau akan bertanding semua kerusi UMNO.

"Dalam konteks ini, hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong," katanya ketika menggulung perbahasan sayap Pergerakan Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di sini, pada Sabtu.

BACA: PAU2020: Bukan UMNO yang mungkir janji, terpulang Pas jika ingin bersama - Tajuddin

BACA: PAU2020: Pemuda, Puteri UMNO sokong Undi 18 dipercepatkan  

BACA: Hentikan berpolitik, dahulukan keperluan rakyat - PM Muhyiddin



Politik | Jangan beri muka ahli hipokrit
 

Malah jelasnya, beberapa perwakilan Pemuda UMNO negeri juga secara jelas meminta kepimpinan parti itu memutuskan hubungan dengan Bersatu.

"Saya perhatikan tadi enam perwakilan negeri secara jelas minta kepimpinan secara tegas putuskan hubungan dengan Bersatu, kita tidak boleh bergantung harap dengan orang lain, kita ada maruah dan jati diri sendiri.

"Kita harus bersedia untuk menawarkan sesuatu kepada rakyat, dan rakyat menantikan kita, tetapi kita kena tegas... jelas pendirian, kita bergerak ke hadapan... dalam konteks ini saya mencadangkan aspek tawaran baharu," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi parti itu pada PRU14 sekiranya UMNO tidak mahu bertoleransi melepaskan kerusi berkenaan pada PRU15.

Muhyiddin juga dilaporkan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai halangan sekiranya UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya nanti.