KOTA KINABALU: Pemimpin yang meninggalkan UMNO adalah mereka yang tiada integriti dan mementingkan diri sendiri, kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ramai pemimpin UMNO meninggalkan parti termasuk di Sabah, namun UMNO kembali dengan kebangkitan luar biasa.

“Demikian juga apabila UMNO Sabah bukan lagi sebahagian daripada kerajaan, terlalu ramai yang meninggalkan UMNO, yang pergi adalah mereka yang tidak ada pertahanan, tidak berintegriti, tidak memikirkan keuntungan parti kerana mereka mementingkan diri sendiri.

"Mereka beri alasan untuk kestabilan politik dan sebagainya tetapi itu cuma alasan yang tidak kukuh dan jelas," katanya pada Jumaat.

Bung Moktar berkata, walaupun kemelut UMNO di Sabah berlarutan namun beliau yakin parti itu akan kembali memerintah negeri ini selepas PRU akan datang.

"Begitu juga dengan keadaan kelainan politik UMNO di Sabah, namun pada ketika ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah maklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) di Sabah menyokong Kerajaan Perpaduan negeri Sabah," katanya.

Katanya lagi, UMNO adalah parti yang berstruktur dan memiliki kekuatan pengikut akar umbi.

"Sebelum ini ada penganalisis menyatakan bahawa UMNO dalam keadaan tenat tetapi respons daripada akar umbi memperlihatkan bahawa parti ini berbeza dengan parti-parti yang lain.

"Jangan tinggalkan UMNO sebab parti ini mempunyai kelainan dengan parti-parti yang lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa selepas pemilihan UMNO nanti, UMNO Sabah akan dipimpin oleh mereka yang berintegriti dan bertanggungjawab untuk memperkukuhkan parti.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO-Barisan Nasional (BN) meninggalkan parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut). -Sinar Harian