JOHOR BAHRU: Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, tiada sebarang perbincangan mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan Majlis Presiden Parti Kerajaan Perpaduan, setakat ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menjelaskan, isu mengenai persempadanan semula bukan kecil sebaliknya ia memerlukan perbincangan terlebih dahulu di peringkat majlis tertinggi Kerajaan Perpaduan.

"Saya tiada dengar agenda tersebut diibincangkan, dan jika pun ada cadangan seperti itu akan dibawa kepada Majlis Kerajaan Perpaduan. Kemudian perkara tersebut akan dibincang dengan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

"Setakat hari ini belum ada perkara sedemikian yang disebut (persempadanan kawasan pilihan raya) dan dibincangkan," katanya ketika bertemu pengundi bersama calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat di Taman Cempaka di sini, pada Isnin.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menambah dakwaan dilemparkan PN berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya terutama di kawasan bandar itu hanya propaganda mengelirukan pengundi.

Selain itu beliau juga percaya dakwaan itu dibuat untuk mengganggu pemikiran pengundi supaya tidak mengundi calon Kerajaan Perpaduan.

"Ini merupakan propaganda jahat yang dibuat, dengan memutarbelitkan dan mengganggu gugat pemikiran pengundi.

"Mereka sudah ada pengundi tegar dari Pas, dan mereka hendak pastikan pengundi UMNO sama ada tidak keluar mengundi atau tidak mengundi calon kita, jadi dia buat kenyataan seperti itu," katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin dalam ceramahnya di kawasan Parlimen Pulai menyuarakan kebimbangan Kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan persempadanan semula kawasan pilihan raya, jika mereka mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Kata Muhyiddin, langkah pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung persempadanan itu hanya boleh dibuat jika Kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Muhyiddin turut meminta pengundi Pulai menyekat langkah pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung persempadanan itu dengan memenangkan calon PN di Pulai, Zulkifli Jaafar pada 9 September nanti. - Sinar Harian