Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor yang akan diadakan pada 25 September ini merupakan medan terbaik untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan penghalang utama untuk mereka menguasai Kelantan selama ini.

Selama ini, UMNO dan BN Kelantan sering memberi alasan punca mereka gagal merampas kembali Kelantan dari tangan PAS kerana faktor Nik Aziz yang dikatakan boleh menarik sokongan pengundi.

Kali ini, PRK Dun Pengkalan Kubor diadakan ketika pentadbiran PAS Kelantan tidak lagi diketuai oleh Nik Abdul Aziz yang sering dianggap faktor penghalang UMNO dan BN menang di negeri Cik Siti Wan Kembang.

"Kalau kalah di Pengkalan Kubor bermakna bukan faktor Nik Aziz atau PAS tetapi disebabkan UMNO itu sendiri, masalah dalaman yang tak mampu nak diselesaikan oleh UMNO dan Bn Kelantan.

"Kalau di Pengkalan Kubor ini, calon sudah tidak jadi masalah, orang kenal siapa dia, kalau nak menang itu boleh tapi sejauh mana kita (UMNO) nak menang?

"Jangan lupa, kalau di Kelantan, pimpinan UMNO pusat ingatkan supaya jangan ada 'cah keting' tetapi tidak mustahil di Pengkalan Kubor ini mungkin masih ada macam itu," kata seorang aktivis UMNO Kelantan kepada Astro AWANI.

Kata sumber itu lagi, UMNO dan BN pernah membuktikan bahawa ketika Nik Abdul Aziz masih lagi menjadi Menteri Besar Kelantan, calonnya mampu memenangi PRK contohnya ketika PRK Pengkalan Pasir pada 2005 dan di Galas pada 2010.

"Dua kemenangan itu membuktikan bahawa jika UMNO bersatu dan buat kerja seperti yang diarahkan, kita (UMNO) boleh menang, tidak kira sama ada Nik Aziz jadi menteri besar atau tidak.

"Tetapi kalau pimpinan UMNO bertelagah dan sabotaj usaha yang dibuat oleh jentera parti sendiri, sebaik mana pun calon yang kita turunkan, jangan harap nak menang," katanya lagi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN meninggal dunia akibat kanser pada 20 Ogos lalu.

Noor Zahidi mempertahankan kerusi DUN Pangkalan Kubor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu dengan majoriti 1,736 undi menewaskan calon PKR, Saharun Ibrahim yang mendapat 8,438 undi serta seorang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 65 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 September ini sebagai hari penamaan calon manakala hari mengundi pula pada 25 September.

BN menamakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat, Mat Razi Mat Ail, 49 sebagai calon untuk menentang Setiausaha PAS Kawasan Tumpat Wan Rosdi Wan Ibrahim.