Muafakat Nasional perlu memenangi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai agar lebih banyak permasalahan rakyat dapat dibawa ke Dewan Negara, kata pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau, yang juga Presiden UMNO berkata biarpun barisan pembangkang tidak mempunyai peruntukan yang banyak, namun itu tidak akan menghalang hasrat mereka untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat.

Atas dasar itu, beliau berkata, calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng harus diberikan mandat sekali lagi agar lebih banyak suara pembangkang dapat berkumandang di Parlimen.

“Sebab kita mahu Tanjung Piai diwakili oleh Ahli Parlimen yang boleh menyuarakan masalah rakyat di Dewan Rakyat.

"Kita mahu semua permasalahan yang dibawa rakyat dapat disuarakan di Dewan Rakyat. Biarpun kita tahu kita sebagai pembangkang tak ada peruntukan, tetapi kerajaan satu penggal ini harus diajar.

“Biarpun 40 (Ahli Parlimen BN) yang ada sekarang ini, saya dan Datuk Hisham (Hishammuddin Tun Hussein) akan pastikan kesemua mereka tidak akan lompat lagi ke sana.

"Kita akan pertahankan kesatuan seluruh Ahli Parlimen, dan Insya-Allah, tambah satu lagi Wee Jeck Seng,” katanya di hadapan kira-kira 3,000 hadirin di Ceramah Perdana BN dan PAS, di Kampung Rimba Terjun, di sini malam ini.

Turut hadir ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, serta pimpinan kanan parti berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid sekali lagi menzahirkan penghargaan beliau dan BN kepada PAS kerana menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi dalam menyokong Wee, biarpun kawasan Tanjung Piai mempunyai majoriti masyarakat Melayu Islam.

“Kita berkumpul malam ini adalah sebagai manifestasi bahawa Muafakat Nasional di bawah Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera, di mana PAS dan UMNO bergabung, jelas tidak mengetepikan agama lain dan bangsa lain.

“Malah jelas dari ucapan, daripada presiden PAS, bahawa PAS mendokong calon Barisan Nasional yang diwakili MCA,” katanya lagi.