KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kesempatan menggunakan persepsi kononnya UMNO parti kotor untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, Muhyiddin juga tidak sepatutnya sengaja mengelirukan rakyat kononnya menolak UMNO sebagai ibadah dalam perjuangan.

"Pada hemat saya, UMNO seperti juga Bersatu, PKR dan Pas adalah parti politik yang bergelut dengan sokongan rakyat untuk berkuasa, dan ada ketikanya mereka juga dilihat terlalu kotor dan memualkan.

"Jika Muhyiddin tuduh UMNO parti kotor, apakah selama ini Bersatu, Pas dan PKR itu sebenar-benar parti politik yang 'bersih' dan suci'?" soalnya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Sabtu.

BACA: Johor tak boleh diurus seperti sebelum pandemik - Muhyiddin Yassin

BACA: 
PRN Johor: Zahid kecewa nama ayahnya dihina, dipermainkan Muhyiddin

Pada Jumaat, Muhyiddin mendakwa UMNO adalah parti 'kotor' dan wajar ditinggalkan kerana mempunyai kumpulan 'kluster mahkamah' yang dianggap telah melakukan kemungkaran serta kesalahan.

Justeru katanya, rakyat diminta tidak bersubahat dengan kumpulan sedemikian, sebaliknya bersama-sama melakukan ibadah dengan menyertai saf perjuangan baharu.

Dalam pada itu Syed Ali berkata, kotornya UMNO adalah berpunca daripada sesetengah pemimpin dan orang parti itu sendiri.

Tambahnya, pemimpin UMNO yang terbelenggu dengan pelbagai masalah termasuk kes mahkamah mewujudkan permainan persepsi kononnya UMNO sebuah parti politik yang kotor.

"UMNO, parti terbesar mewakili orang Melayu bukannya sebuah parti politik yang 'kotor' sepertimana dakwaan Muhyiddin.

"Dakwaan bekas Timbalan Presiden UMNO itu tidak tepat kerana Muhyiddin sendiri pernah merasai nikmat perjuangan dan kemewahan ketika bersama parti tersebut.

"Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin kerana UMNO telah terbukti jasanya terlalu besar untuk membangunkan negara dan rakyat," katanya.

Syed Ali juga menegaskan, mana-mana pemimpin dan orang UMNO yang bermasalah seeloknya berehat dan mengundur diri seketika supaya parti itu tidak dihukum dengan tanggapan yang buruk.

PRN Johor | 'Johor tak boleh diurus seperti sebelum pandemik'