SUNGAI PETANI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah perlu mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tradisi parti berkenaan yang tidak pernah dimenangi parti-parti lain sejak tahun 2008, di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli memaklumkan kerusi-kerusi berkenaan melibatkan DUN Sidam, Bakar Arang, Bukit Selambau, Kulim dan Lunas.

Beliau turut menyatakan bahawa kemenangan parti itu di lima kerusi DUN berkenaan juga akan menjadi petunjuk kepada kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH) di negeri Jelapang Padi itu.

Bagaimanapun, Rafizi menyatakan bahawa wujud risiko dan cabaran besar kepada PKR terutama peralihan sokongan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) seperti yang berlaku ketika Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

"Macam saya sebut (sebelum ini), pada dasarnya walaupun ada turun naik (prestasi PKR di Kedah) dan segala bentuk tsunami (yang membadai) serta pergolakan politik (sejak tahun) 2008, di Kedah memang ada lima kerusi (DUN) tradisi yang (PKR) tidak pernah kalah,

"(Kerusi-kerusi) ini adalah asas kerusi paling sesuai untuk kita pertahankan, saya tidak kata (ia tidak) risiko, dia memang ada risiko sebab di Kedah sahaja 'swing' undi Melayu (berlaku) sehingga 70 hingga 80 peratus disebabkan permainan sentimen perkauman semata-mata, undi orang Melayu (memang) 'swing' di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Konvensyen Pilihanraya 2023 Parti Keadilan Rakyat Negeri Kedah dan Pulau Pinang, di SP Plaza, Sungai Petani pada Sabtu.

Semalam, Rafizi menzahirkan keyakinan bahawa PH dapat mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam PRN akan datang.

Jelasnya, di Selangor, beliau menjangkakan 45 hingga 47 kerusi DUN mampu dikuasai gabungan parti itu.

Sehubungan itu, PH akan terus membuat persiapan dengan sasaran boleh pertahankan ketiga-tiga negeri itu dan selain memperolehi kemenangan kerusi tradisional di Kedah.