MELAKA: Seramai 11,557 pengundi akan mengundi awal di 31 pusat mengundi membabitkan 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan dibuka bermula jam 8 pagi, esok. 

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah itu merangkumi 9,217 anggota tentera dan pasangan serta  2,340 anggota polis di seluruh negeri.

Jelasnya, proses pengundian awal itu akan dijalankan dengan memastikan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 dilaksanakan.

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada garis panduan pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuatkuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.

“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding dan di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara 'live streaming' menerusi Facebook SPR,”katanya.

Jelasya, semua kotak undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap balai polis terlibat dan hanya akan dikira pada 20 November nanti.

“Kesemua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis dan kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 20 November 2021, bermula jam 4.00 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing.

SPR sebelum ini menetapkan 8 November sebagai tarikh hari penamaan calon, hari pengundi awal pada 16 November dan hari mengundi pada 20 November depan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Perang' PRN Melaka sudah bermula, undi awal esok

PRN Melaka bakal melibatkan 495,196 orang pengundi di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.