Ringkasan AI
- Barisan Nasional akan umum calon PRN Melaka bersama Pas dan rakan strategik pada Sabtu ini, menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- BN akan bertanding di 21 kerusi, manakala Pas dan rakan strategik bertanding di tujuh kerusi, berdasarkan pembahagian yang telah dimuktamadkan.
- Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, menggantikan Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertugas di luar negara.
MELAKA: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bersekali dengan Pas dan rakan strategiknya pada Sabtu ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, berkata BN akan bertanding di 21 kerusi, manakala Pas dan rakan strategiknya akan bertanding di tujuh kerusi berdasarkan pembahagian yang dipersetujui, setakat ini.
“Insya-Allah di pentas yang sama dan di dewan yang sama kita akan umumkan (calon BN, Pas dan rakan strategik),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini malam tadi.
Berhubung pembahagian kerusi antara parti komponen BN, Ahmad Zahid berkata perkara itu telah dimuktamadkan berdasarkan jangkaan kemampuan setiap parti untuk menang di kawasan yang akan ditandingi.
Beliau berkata Pas dan rakan strategiknya turut mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pembahagian kerusi antara mereka.
“Insya-Allah segala-galanya akan selesai dengan baik … segala-galanya telah dimuktamadkan mengikut jumlah kerusi yang kita persetujui bersama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN pada PRN kali ini.
Beliau berkata Ab Rauf mengambil alih tugas itu daripada Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempunyai tugasan di luar negara dalam tempoh kempen.
“Kebetulan ketika kempen berjalan di Melaka, beliau (Mohamad) banyak tugas-tugas di luar negara termasuk menghadiri mesyuarat negara-negara Komanwel dan juga tugas mewakili negara bagi mesyuarat serantau, seterusnya Sidang Kemuncak ASEAN dan juga di beberapa negara yang lain,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka, dengan penamaan calon pada 31 Okt dan undi awal pada 10 Nov.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
-- BERNAMA