Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Fahmi sahkan Amirudin jumpa PM Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 24 Ogos -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (lima,kiri) bersama timbalannya Teo Nie Ching (lima,kanan) bergambar kenangan pada Sesi Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik kepada Peserta Human Grafic sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.  Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah (tiga,kiri).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi menghadiri Sesi Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik kepada Peserta Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pada Isnin. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari pada Ahad.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada isu rundingan kerjasama PH-Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

"Saya difahamkan mereka ada pertemuan semalam (Ahad), tapi tidak dimaklumkan apa perbincangan.

"Memang ada (pertemuan) untuk pimpinan dalam masa sehari dua ini, banyak perjumpaan dan mesyuarat, memang ada. Tapi sama ada itu salah satu topik, tidak dimaklumkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik kepada Peserta Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini, pada Isnin. 

PH dan BN pernah bekerjasama pada enam PRN pada 2023, namun BN kemudian memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan dan Johor.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bagi membincangkan kerjasama menjelang PRN berkenaan.

Mengulas strategi PH menghadapi PRN akan datang, Fahmi berkata, Anwar sebelum ini menekankan kepentingan membawa kembali veteran parti selain merangkul seluruh kekuatan gabungan berkenaan.

"Pengerusi Pakatan Harapan (Anwar) sebut waktu Kongres PKR di Melaka Ahad minggu lalu, beliau memaklumkan, kita perlu berusaha untuk bukan hanya mengambil semula 'otai-otai', orang-orang lama seperti Tian Chua, Dr Xavier (Jayakumar) dan ramai lagi, tapi juga kita perlu merangkul seluruh kekuatan.

"Jadi saya lihat ini salah satu strategi yang akan dimanfaatkan," katanya.

Anwar sebelum ini berkata Jawatankuasa Pilihan Raya PH yang diketuai Amirudin bersama Saifuddin Nasution akan membincangkan potensi kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN masih menjalankan kajian terperinci berhubung kemungkinan kerjasama dengan mana-mana gabungan politik bagi menghadapi PRN Melaka.

Beliau berkata keputusan berhubung kerjasama itu akan diputuskan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum dimuktamadkan kepimpinan UMNO dan BN di peringkat pusat.

Ab Rauf sebelum ini turut berkata BN Melaka terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak, termasuk PKR dan PAS, namun kedudukan 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN 2021 akan menjadi asas dalam rundingan.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebelum ini berkata rundingan pembahagian kerusi antara PN dan BN bagi menghadapi PRN Melaka sedang berlangsung.

Beliau turut menyatakan PN mempunyai alternatif sekiranya BN memilih untuk bekerjasama dengan PH.

Must Watch Video

Advertisement