AYER KEROH: Polis menerima tiga laporan berhubung kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada hari penamaan calon, semalam.

Bagaimanapun, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, siasatan akan dijalankan bagi meneliti kesalahan-kesalahan terbabit.

"Saya sebagai Menteri Dalam Negeri mendapat laporan... sebagai satu contoh, semalam kita dapat tiga laporan tentang kesalahan yang dilakukan oleh sesetengah calon.

"Saya kata buat masa ini kita kena berhati-hati sebelum mengambil apa-apa tindakan sebab kena ada budi bicara.

"Yang penting bagi kita calon-calon ini diberikan ruang, jangan sampai merosakkan atau melanggar Akta 342, itu lebih baik. Kalau tidak nanti dia boleh jadi masalah besar kerana wabak ini boleh merebak bukan hanya di Melaka tapi seluruh negara," jelasnya.

Meskipun begitu, Hamzah berkata, beliau telah meminta anggota polis yang bertugas sepanjang pilihan raya itu agar sentiasa tegas di lapangan.

"Saya minta polis tegas dari segi Akta 342, tapi tengok juga budi bicara supaya calon-calon itu dapat melakukan pengenalan diri dan berkempen supaya rakyat dapat membandingkan parti bertanding," katanya lagi.

Mengulas mengenai gerak kerja jentera Perikatan Nasional (PN), tambah Hamzah, ianya dilakukan secara sistematik dan efisyen bagi memastikan pengundi dapat mengenali calon-calon PN.

"Sebagai Setiausaha Agung PN, saya dah pun berada sejak dua hari di Melaka, saya nak memastikan jentera daripada parti saya PN benar-benar dapat bekerja dan bukan hanya dapat bekerja tapi buat secara sistematik dan efisyen.

"Calon-calon kita, calon baharu yang kita nak pastikan supaya pengundi dapat mengenali mereka, bagaimana cara nak perkenalkan mereka.

"Sebab itu saya turun dan berbincang di bilik gerakan PN untuk memastikan bahawa semua memahami cara kita bekerja supaya ianya dapat diguna pakai oleh semua bilik gerakan yang kita sediakan," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Bilik Gerakan Media di Ayer Keroh pada Selasa.