MELAKA: Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kenyataan berbaur ugutan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan membuatkan rakyat menarik sokongan kepada gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Sebaliknya tegas bekas Perdana Menteri itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya ‘merayu’ kepada pengundi dan membuktikan bahawa PN mampu membuat tawaran menarik kepada rakyat sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri.

“Kita mesti sedar hendak bubar sesebuah negeri bukan suatu perkara yang mudah, rakyat tidak mahu (hadapi) pilihan raya tetapi kita paksa dan rakyat akan menyalahkan serta menghukum kita.

“Kalau dia (PN) buat, saya percaya rakyat akan hukum mereka. Sebab itu dalam pilihan raya ini kita tidak boleh buat nada sombong macam itu, kita mesti merayu kepada pengundi bahawa parti kita mempunyai agenda yang terbaik untuk rakyat.

“Itu pokoknya dan bukan ugutan, suara yang tinggi atau sengaja hendak menunjukkan berkuasa kerana rakyat suka pemimpin bersikap rendah diri,” katanya dalam temubual secara langsung di Facebook bersama sebuah portal berita tempatan malam Ahad.

Beliau terdahulu mengulas kenyataan Muhyiddin mengeluarkan kata-kata ‘kalau saya tekan butang Johor jatuh’.

TONTON: "Saya tekan button, semua jatuh"

Muhyiddin sebelum itu menyelar cabaran yang dilontarkan oleh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad sebagai ‘bodoh’ yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat Johor jika berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor.

PRN Melaka | 'Sepatutnya merayu pada pengundi, bukan buat ugutan' - Najib

BACA: PRN Melaka: Muhyiddin anggap Shahrir Samad bodoh, cabar jatuhkan Kerajaan Johor

Dalam pada itu, mengulas tindakan PN yang dilihat lebih menggunakan potret Muhyiddin sebagai bahan kempen dan bukan wajah calon, Ahli Parlimen Pekan itu berkata faktor calon bidan terjun menyebabkan gabungan itu terpaksa berbuat demikian.

“Ini kerana calon mereka adalah calon bidang terjun, orang tak kenal langsung (maka) terpaksa bersandar kepada pemimpin mereka yang lebih dikenali dan sejauh mana strategi itu berkesan kita tengok dulu lah.

“Apabila pilihan raya ini dia lebih kepada ‘personal touch’ yang mana mereka suka orang yang bakal jadi wakil rakyat ini mereka kenal dan bukan setakat masuk bertanding tetapi dalam hati tiada komitmen dan kesungguhan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.