Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Undi awal selesai, 38 pusat mengundi ditutup

PORT DICKSON, 28 Julai -- Panglima Tentera Darat Tan Sri Azhan Md Othman (tengah) meninjau proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16. di Pusat Pengundian Awal Dewan Serbaguna Kem Segenting, hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pasangan masing-masing berakhir hari ini, selepas kesemua 38 pusat mengundi awal ditutup sepenuhnya pada 5 petang. - BERNAMA
Advertisement

SEREMBAN: Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pasangan masing-masing berakhir hari ini, selepas kesemua 38 pusat mengundi awal ditutup sepenuhnya pada 5 petang.

Pusat mengundi yang mula dibuka seawal 8 pagi tadi ditutup secara berperingkat mengikut kawasan serta jumlah pemilih berdaftar ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terdahulu, 20 pusat pengundian awal ditutup pada 12 tengah hari dan 2 petang.

Berdasarkan peratusan terkini keluar mengundi oleh SPR, sebanyak 88.97 peratus atau 14,651 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu setakat 3 petang tadi yang merangkumi 9,827 anggota tentera dan pasangan serta 4,824 anggota polis serta pasangan.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun pada sidang media berkata SPR menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada 16,467 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis serta pasangan masing-masing, keluar mengundi hari ini.

Pengundian awal melibatkan keseluruhan sebanyak 22,339 pemilih dengan 16,467 orang mengundi secara fizikal merangkumi 11,293 tentera dan pasangan serta 5,174 polis dan pasangan manakala selebihnya mengundi secara pos.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi DUN dengan pengundian bagi 867,151 pemilih biasa ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement