JEMPOL: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mendukung politik matang bagi menjamin kestabilan politik negara demi kesejahteraan rakyat.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kekuatan kedua-dua gabungan politik itu penting dalam memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

"Saya Anwar Ibrahim, Presiden Keadilan datang berkempen di sini dan minta dimenangkan Datuk Zaidy Abdul Kadir dari UMNO mewakili BN.

"Ini politik matang yang baharu dalam negara ini... kerana kita tahu tanpa semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum dan parti, negara tidak akan selamat... yang penting, jangan tolak ansur soal prinsip, jangan bagi kuasa itu sijil untuk wakil rakyat salah guna kekayaan mereka," katanya ketika berucap pada Ceramah Umum di Pentas Rompin di sini malam ini.

Beliau turut mendoakan agar Zaidy dan pembantunya yang terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi cepat sembuh.

Anwar turut mengulangi kenyataan beliau bahawa pelabur datang ke Malaysia kerana kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga menyeru masyarakat India agar tidak mensia-siakan undi mereka pada PRN kali ini.

"Saya nak beritahu kepada semua kaum di sini, ini tanggungjawab saya, tanggungjawab saya tolong semua orang susah tanpa mengira Cina, Melayu dan India.

"Saya nak beritahu masyarakat India, jangan sia-siakan undi anda... kalau tak setuju satu dua perkara, kita boleh selesaikan," katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan beliau akan bertemu dengan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan ketua-ketua parti itu di seluruh negara bagi membincangkan isu semasa esok.

"Saya nak jumpa semua wakil MIC seluruh negara supaya mereka jangan salah faham dan bekerja sebagai satu pasukan," katanya.

-- BERNAMA