PRN Sabah: Terima pemimpin parti lain, Warisan cakap tak serupa bikin - Armizan

Armizan (gambar) berkata, sebelum ini Warisan membuat naratif bahawa GRS adalah parti lompat dan sarang pemimpin melompat sebaliknya kini mereka yang berbuat demikian. - Foto KPDN
PAPAR: Datuk Armizan Mohd Ali hari ini menempelak Parti Warisan apabila meraikan dan menerima pemimpin daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti lain dalam parti itu.
Ini kerana Timbalan Setiausaha Agung GRS itu berkata, sebelum ini Warisan membuat naratif bahawa GRS adalah parti lompat dan sarang pemimpin melompat sebaliknya kini mereka yang berbuat demikian.
"Kalau kita tengok dengan perkembangan terbaharu ini, mereka (pemimpin) yang melompat tidak hanya daripada GRS tetapi juga daripada parti lain diberikan sambutan 'permaidani merah'.
"Diadakan sidang media untuk meraikan kemasukan mereka. Jadi saya fikir, apa orang kata... cakap tidak serupa bikinlah," katanya.
Beliau berkata demikian Ketika ditemui media di Pejabat UPPM DUN Kawang, di Papar pada Ahad.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menegaskan, sekiranyan perpindahan pemimpin berlaku kerana kecewa tidak dipilih sebagai calon, ia boleh dianggap sebagai 'proses pembersihan' dalam politik.
Jelasnya, perjuangan parti termasuk GRS sepatutnya berpaksikan kepada rakyat dan bukannya untuk mengejar kerusi (menjadi calon) mahupun kedudukan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Papar mengingatkan pemimpin parti itu supaya mengetepikan kepentingan peribadi dan tidak melakukan sabotaj terhadap parti jika tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 nanti.
"Jadi siapa juga yang diputuskan menjadi calon, kena terima lah.
"(Penerimaan pemimpin lompat) itu hak Warisan juga, dan bagi saya terima kasih kepada Warisan kerana mereka sendiri telah menjawab tuduhan yang mereka buat terhadap GRS," katanya.
Dalam perkembangan lain, Armizan memaklumkan, reformasi undang-undang dan institusi akan menjadi agenda teras dalam manifesto GRS bagi mengukuhkan pembangunan negeri serta perlindungan hak rakyat.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

