JOHOR BAHRU: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhijrah ke Kota Tinggi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu sekali gus menunjukkan beliau tidak akan cuba merampas kembali kerusi asalnya di Pasir Gudang.

Keputusan Mohamed Khaled ke Kota Tinggi diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan senarai calon BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa malam.

Mohamaed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor itu menjadi antara nama yang kerap diperkatakan berhubung kedudukan kerusi yang bakal beliau tandingi.

Pergerakan bekas Menteri Pengajian Tinggi itu ke Kota Tinggi juga menyaksikan beliau menggantikan penyandang kerusi dari parti sama iaitu Datuk Halimah Sadique yang telah lama di kawasan berkenaan.

BACA: PRU15: Senarai calon BN diumum Zahid Hamidi

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN

Pada PRU14, Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri ketika itu tewas dalam saingan empat penjuru di Parlimen Pasir Gudang, yang dimenangi Hassan Abdul Karim daripada PKR dengan majoriti 24,726 undi.

Sementara itu, BN turut menempatkan Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latiff Bandi untuk berentap di Mersing yang kini disandang oleh Datuk Abdul Latiff Ahmad daripada Bersatu.

Sebelum ini, nama Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba, Muhammad Syukri Ibrahim antara yang disebut bakal mewakili BN di Mersing.

Abdul Latiff dijangka bertembung dengan calon PN, Muhammad Islahuddin Abas dan Fatin Zulaikha Zaidi (PH).