KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memajukan agenda transformasi politik bagi memastikan kestabilan dan akauntabiliti politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataan hari ini berkata, sekiranya Perdana Menteri tidak dapat menentukan bila untuk memanggil pilihan raya awal, Ismail Sabri secara asasnya perlu membentangkan pelan Pentadbiran dan Reformasi bagi baki penggal beliau sehingga 16 Julai tahun depan.

Tambah jawatankuasa itu, Ismail Sabri perlu menunjukkan kepimpinan dan iltizam untuk menstabilkan politik Malaysia.

"Permainan teka tarikh PRU15 sedang menyakitkan negara dengan bukan sahaja ketidaktentuan yang akan mempengaruhi keputusan dalam perkara ekonomi dan kehidupan rakyat, namun juga mengalihkan perhatian menteri dalam urusan pentadbiran," kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, BERSIH berkata sudah sampai masanya Perdana Menteri mengembalikan keyakinan rakyat kepada proses politik dan pilihan raya, satu sasaran yang perlu disokong oleh semua parti termasuk di barisan kerajaan dan Pembangkang.

Bagaimanapun, BERSIH sedar bahawa reformasi struktural memerlukan pindaan perlembagaan dan mereka menyeru agar semua parti dan Ahli Parlimen, termasuk UMNO, untuk memberikan sokongan mereka kepada agenda reformasi.

Ini bagi memastikan agar kerajaan memulakan proses perundingan dengan semua pihak berkepentingan untuk mendapatkan dapatan dan sokongan mereka.

Dalam perkembangan sama, BERSIH menambah reformasi institusi yang penting dan mustahak namun belum diperbincangkan lagi adalah menggubal Akta Pembiayaan Politik, termasuk Pendanaan Awam kepada Parti Politik serta pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional.

Selain itu, BERSIH berkata dalam persidangan baru-baru ini, beberapa reformasi turut dibincangkan termasuk syor melaksanakan had penggal Perdana Menteri selama 10 tahun dan memperkenalkan undi tidak percaya secara konstruktif.