KUALA NERUS: UMNO Terengganu bersedia memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya diadakan lebih awal.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Din Adam berkata pelbagai stategi serta langkah telah direncanakan bagi memasuki medan pertempuran itu termasuk jentera parti dan sebagainya.

Katanya PRU itu juga akan membolehkan rakyat membuat pilihan sekaligus dapat membentuk kerajaan yang kukuh.

"Lebih baik kita buat pilihan raya awal, kalau makin lama maka kerugian akan lama dialami oleh rakyat.

"Contohnya kalau kerajaan bakal dibentuk nanti kerajaan yang mempunyai kebolehan yang tinggi, jadi kalau kita tangguhkan lagi, jadi kerugian, yang sepatutnya dapat sekarang akan dapat banyak lagi," katanya.

Ketika ditanya jika wujudnya pertandingan di negeri Terengganu, Din berkata ianya tidak  mengugat keyakinan parti berkenaan.

Jelasnya berlandaskan keyakinan dan lontaran suara rakyat itu juga UMNO Terengganu optimis untuk menawan lebih banyak kerusi pada PRU15 nanti.

Terdahulu pelaksanaan PRU15 dalam waktu yang terdekat dilihat dapat mengurangkan 'iklim politik' berpanjangan yang dihadapi oleh negara ketika ini.

BACA: Pelaksanaan PRU15 dapat kurangkan 'iklim politik' berpanjangan - Mohamad Hasan

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, waktu yang sesuai untuk melaksanakannya adalah dalam tempoh lima ke enam bulan akan datang.