KUALA LUMPUR: Selepas dua kejayaan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan, sudah tiba masanya untuk kedua-dua gabungan memeterai perjanjian ikatan rasmi bergabung sebagai satu pakatan menjelang PRU16 sekiranya ia utuh dan ikhlas, bukan sekadar drama politik.
Penganalisis Politik, Shahbudin Embun berkata, penggabungan secara rasmi akan menjelaskan hala tuju bersifat jangka panjang dan boleh menyakini segmen pengundi yang disasarkan oleh kedua-dua parti selain mengelakkan kekeliruan penyokong di atas masa depan kerjasama tersebut.
Katanya, kerjasama politik antara BN dan PN perlu dalam konteks yang lebih besar dan matang, bukan sekadar dari sudut siapa akan menjadi Perdana Menteri atau parti mana yang mendapat lebih banyak kerusi.
“Apa yang berlaku dalam politik Malaysia hari ini menunjukkan bahawa pintu kerjasama politik semakin terbuka dan tidak lagi boleh dilihat secara terlalu rigid berdasarkan sempadan parti.
“Pendekatan BN khususnya UMNO yang menekankan konsep persefahaman semestinya membentuk gabungan rasmi sebenarnya memberi ruang kepada mana-mana parti untuk bekerjasama sekiranya matlamatnya adalah kepentingan rakyat, kestabilan politik dan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii menjelaskan pendekatan BN dalam menterjemahkan hubungan politik bersama parti-parti lain menjelang PRN dan PRU16 kini lebih bertumpu kepada konsep 'persefahaman' berbanding ikatan gabungan rasmi.
Kata Razlan lagi, model yang diguna pakai di Negeri Sembilan dan Johor terbukti memberikan hasil yang positif tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati antara parti-parti bertanding.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan satu penjenamaan baharu bagi kerjasama politik PN dengan BN menerusi nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan penyokong kedua-dua gabungan.
Mengulas lanjut, Shahbudin yang juga Pengerusi Kepimpinan dan Pentadbiran Negara Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, jika BN dan PN benar-benar mahu membentuk satu kerjasama yang lebih kukuh menjelang PRU16, ia mesti berasaskan keikhlasan, kejelasan prinsip dan kepentingan rakyat, bukannya memainkan sentimen kaum atau menggunakan isu Melayu untuk mendapatkan sokongan politik.
“Janganlah perasaan orang Melayu dipermainkan semata-mata untuk kepentingan pilihan raya. Jika benar-benar ikhlas mahu bekerjasama, kedua-dua pihak perlu menjelaskan kepada rakyat apakah bentuk kerjasama yang ingin dibawa, apakah agenda negara yang mahu dilaksanakan dan bagaimana mereka akan memastikan kestabilan politik terus terjamin.
“Soal siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri pula tidak wajar diputuskan hanya berdasarkan kehendak mana-mana parti,” katanya.
Pada masa sama, katanya, PRN Johor dan Negeri Sembilan memberikan satu gambaran yang sangat menarik tentang masa depan politik Malaysia.
Katanya, parti-parti boleh mempunyai pertandingan dan perbezaan di peringkat negeri, tetapi pada masa sama masih boleh mencari titik persamaan untuk kepentingan yang lebih besar di peringkat Persekutuan.
“Inilah politik Malaysia yang sedang berubah. Jadi, jika BN dan PN benar-benar mahu bekerjasama, jangan biarkan ia menjadi sekadar drama politik atau permainan sentimen Melayu.
“Buktikan bahawa kerjasama itu ikhlas, mempunyai hala tuju yang jelas dan benar-benar bertujuan membawa kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat.
“Pada akhirnya, keputusan bukan di tangan mana-mana pemimpin parti semata-mata. Kuasa sebenar tetap berada di tangan rakyat melalui peti undi,” katanya.