Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mengakui ditawarkan jawatan Exco jika menyertai gabungan bersama Umno dan Pas untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu di Perak.

Bagaimanapun, wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menolak tawaran berkenaan kerana berpegang kepada prinsip parti.

"Pendirian saya mudah sahaja. Untuk makluman, dua tiga hari lepas iaitu sebelum pergolakan berlaku, saya menerima panggilan dari pimpinan BN Perak, merupakan bekas exco. Beliau memaklumkan bahawa ada 29 kerusi setakat itu. Ketika itu siapa pun tidak tahu apa pun akan berlaku. Ketika itu mereka panggil dan memberikan keyakinan bahawa Perak akan tubuh kerajaan baru.

"Jadi dia minta saya masuk dalam gabungan tersebut dan menyokong gabungan tersebut dan akan diberikan jawatan Exco. Ketika itu saya tolak tawaran atas sebab berpegang kepada prinsip kerana saya bertanding atas logo PKR. Rakyat mengundi saya sebab saya membawa PH ketika itu. Saya jadi wakil rakyat kerana rakyat. Maka saya tidak sampai hati nak khianat kepercayaan rakyat dan pengundi Hulu Kinta khususnya," katanya semasa ditemui Astro AWANI di pejabatnya di Tanjung Rambutan, Hulu Kinta di sini pada Rabu.

Ketika ini katanya, situasi politik di Perak bergantung kepada pendirian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Jelasnya, sehingga kini, Ahmad Faizal masih gagal dihubungi.

Namun, beliau berpendapat Menteri Besar Perak itu perlu diberikan sedikit ruang untuk berfikir mengenai pendiriannya sama ada untuk terus mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri atau sebaliknya.

"Ada banyak faktor yang akan menentukan pendirian beliau. Namun kita perlu beri masa sedikit supaya kita dapat tengok apa pendirian MB kita ni," ujarnya lagi.

Jelasnya, ketika ini tiga daripada empat Adun PKR termasuk dirinya masih menyokong Pakatan Harapan (PH).

"Seorang lagi wakil rakyat PKR, YB Yunus saya tidak tahu (pendirian) beliau. Saya pernah hubungi beliau tetapi tidak jawab," kata Muhamad Arafat.

Muhamad Arafat juga mempersoalkan kehadiran Adun Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari semasa pengumuman ahli cabang PKR Perak keluar parti dalam satu majlis di sebuah hotel di Ipoh.

"Beliau hadir di situ tiada tujuan kerana tak keluar parti pun. Kemungkinan dia hadir untuk bincang supaya tak keluar ke, kita dengar sahajalah apa keputusan rasmi beliau nanti," tambahnya.