BATU GAJAH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau tidak mengharapkan puji-pujian ekoran ketegasannya menghadiri program yang dianjurkan wakil rakyat pembangkang.

Menurutnya, beliau iklas melakukannya demi untuk negeri dan rakyat.

Dalam masa sama, katanya, sebagai Menteri Besar, beliau mahu berlaku adil kepada semua rakyat di negeri Perak.

“Saya akan berlaku adil kepada semua rakyat di negeri Perak seboleh mungkin, jadi harap rakyat akan dapat menilai kepimpinan saya dan juga Barisan Nasional.

“Yang penting ialah kita nak rakyat nampak apa yang kita ‘we walk the talk’, apa yang kita sebut, kita laksanakan, kita bukan retorik,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat tapak pembangunan projek Bandar Tasik Idaman di Batu Gajah, pada Rabu.

Pada Isnin, pembangkang Perak menyifatkan ketegasan Saarani menghadiri program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wakil rakyat pembangkang di negeri itu sebagai politik matang.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Abdul Aziz Bari berkata, ketegasan itu adalah sesuatu yang baharu, bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara.

Terdahulu, pada Ahad, Menteri Besar itu hadir merasmikan Arena Sukan Aulong di Taiping yang turut dihadiri ADUN Aulong yang juga Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Menurutnya, beliau hadir ke majlis itu atas jemputan Kor Ming dan bukannya atas jemputan parti itu untuk merasmikan Arena Sukan Aulong.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Saarani berkata tidak berlaku isu lambakan rumah tidak terjual di Perak, meskipun sektor hartanah negara terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Malah, Perak katanya masih meneruskan sasaran untuk membina 50,000 rumah mampu milik menjelang 2025.

Kerajaan negeri katanya komited untuk menjalin kerjasama yang lebih baik termasuk dengan pihak swasta untuk kembali memacu ekonomi negeri selepas mengalami penguncupan dalam tempoh lebih dua tahun susulan pandemik COVID-19.