KUALA LUMPUR:Kemelut dalaman UMNO perlu diselesaikan dengan segera mengadakan pemilihan parti, kata Ketua Pemuda UMNO Kota Raja Sheikh Weshal Sheikh Ahmad.

Menurutnya, pemilihan segera perlu dilakukan agar hala tuju parti dapat ditentukan oleh mereka yang dipilih.

Ia penting kerana, UMNO kini terpecah kepada tiga kumpulan yang mempunyai hala tuju berbeza.

"Tiga kumpulan wujud hasil dari perpecahan yang berlaku.

"Kumpulan yang mahu parti bergerak sendiri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kumpulan yang mahu kekal bersama Perikatan Nasional dan kumpulan yang mahu jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP.

"Apa pun yang berlaku, hala tuju parti mesti ditentukan segera. Dan pemilihan parti adalah jalan terbaik menamatkan kemelut yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA: Kekalkan tarikh pemilihan parti, tawarkan pimpinan baharu - Pemuda UMNO Pagoh 

BACA: "UMNO kini sudah berpecah tiga" - Annuar Musa

Sheikh Weshal berpendapat, PRU15 adalah talian hayat terakhir bagi UMNO untuk mengukur sama ada ia masih relevan atau tidak.

Pada Sabtu, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menggesa parti itu dirombak semula dan mengetengahkan pemimpin yang bukan hanya diterima ahli, bahkan rakyat juga.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohamed Nizham Abdullah Hamidi menegaskan, UMNO perlu mengadakan pemilihan pada tahun ini juga supaya rasa tidak puas hati terhadap pemimpin kembali reda.

BACA: Rombak UMNO, ketengahkan pemimpin disukai ahli dan rakyat

BACA: UMNO perlu bariskan pemimpin baharu selain Ahmad Zahid 

BACA: UMNO lemas dalam kolam yang cetek - Shamsul Amri

Sementara itu, Pemuda UMNO Pagoh mahu tarikh pemilihan parti dikekalkan untuk mendapatkan barisan kepimpinan baharu.

Sebelum ini, Pemuda UMNO Pontian dan Seremban bersuara mendesak presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya berehat.