Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menegaskan beliau tidak akan kembali kepada UMNO.

Sebaliknya, bekas naib presiden UMNO ini akan meneruskan perjuangan sekadar yang termampu.

Shafie juga menegaskan bahawa beliau seharusnya disiasat dahulu dan bukan terus dihukum dengan digantung parti.

“Kami masih bersahabat dalam UMNO, u-turn tu tak bangkit langsung ya … saya akan teruskan perjuangan saya apa yang saya mampu, mereka telah menghukum saya digantung dahulu baharu siasat.

Menurut Shafie, ia satu perbuatan yang tidak seharusnya berlaku dalam UMNO.

“Siasatlah dahulu baharulah hukum, kalau saya dapat membela diri saya, saya akan terangkan.

Beliau turut berkata, dakwaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tentang video yang menunjukkan beliau dengan pembangkang adalah tidak sahih.

“Sila tunjuk video itu, adakah saya cakap jangan undi UMNO. Saya boleh bangkit bahawa saya persoalkan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Saya digugurkan dalam kabinet kerana 1MDB itu saya boleh terima, tetapi dalam UMNO, membesarkan parti itu bukan semestinya kita perlu taat pada Presiden,” tambahnya.

Shafie berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Bubul, Semporna hari ini.

Majlis itu turut dihadiri lebih 10 ribu warga Sabah.
Mengulas lanjut mengenai pelawaan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin baru baru ini, Shafie mengulangi pendirian bahawa beliau masih tidak pernah terfikir untuk menganggotai mana-mana parti politik pembangkang mahupun parti baharu.