KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan pertambahan waktu sempena Persidangan Penggal Ketiga DUN Sabah ke-16 yang bermula Isnin depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu menegaskan perkara tersebut penting berikutan Sabah kini sudah mempunyai 73 DUN.

"Banyak isu yang harus dibincangkan. Bukan hanya isu pengangguran dan banjir tetapi kemudahan asas.

"Kita mahu semua ADUN ada ruang untuk berucap dan tidak hanya berucap lima minit sahaja.

"Parlimen yang terdapat 222 kerusi boleh bersidang selama tiga bulan, takkan masa persidangan DUN tidak boleh ditambah ke satu bulan.

"Ketua Pembangkang yang sepatutnya satu jam tetapi kadang-kadang hanya 20 minit peluang yang diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie memaklumkan pertambahan masa itu juga penting kerana terdapat banyak peraturan mesyuarat harus disemak semula untuk ditambah baik.

"Ini cara kita untuk bagi ruang bagi pengurusan pentadbiran kerana DUN adalah badan menggubal undang-undang

"Undang-undang ini penting disebabkan sekiranya tiada undang-undang yang teratur maka manusia tidak akan ada disiplin.

"Apabila manusia tidak ada disiplin, perjalanan pengurusan kehidupan juga tidak akan teratur," katanya lagi.

Persidangan Penggal Ketiga DUN Sabah ke-16 bakal berlangsung bermula 21 sehingga 24 Mac depan.