Beberapa kenyataan yang dianggap 'bersimpang-siur' di kalangan parti dalam Pakatan Harapan (PH) mengecewakan Nurul Izzah Anwar sehingga Naib Presiden PKR itu mengambil keputusan melepaskan jawatan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Nurul Izzah seorang reformis tulen dan sangat komited, serta tidak mahu PH mengkhianati mandat yang diberikan rakyat.

Jelasnya, Nurul Izzah juga mahu PH berusaha ke arah menunaikan janji sekali gus memenuhi harapan besar rakyat kepada pakatan itu.

Katanya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ada pendirian dan pandangannya tersendiri tetapi berasa 'terikat' kerana bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Presiden PKR sementara ibunya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ialah timbalan perdana menteri (TPM).

"Beliau rasa, jika bersuara, ketika memakai jaket naib presiden parti, ketika Pakatan itu menjadi kerajaan, dan Keadilan adalah parti komponen terbesar, kenyataan itu boleh dilihat dari sudut, orang akan kaitkan juga, ini Nurul Izzah, bondanya TPM, ayahandanya dilihat dipersetujui secara konsensus bakal mengambil alih.

"Tiba-tiba, dia dilihat memberi pandangan berbeza. Jadi, dia terikat. Itu sangat merimaskan beliau," kata Saifuddin semasa ditemui selepas menjadi tetamu Agenda AWANI pada Rabu.



BACA: Jangan komen bagi pihak saya! - Nurul Izzah

Nurul Izzah pada Selasa, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden, Pengerusi PKR Pulau Pinang serta pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia.

BACA: PKR Permatang Pauh terkejut, sedih Nurul Izzah letak jawatan

Dalam pada itu, kata Saifuddin, Nurul Izzah juga memberitahu, PH tidak boleh dilihat bergolak walaupun ada kemelut dan perpecahan di dalam UMNO atau Barisan Nasional (BN).

"Itu (pergolakan dalam PH) tidak sepatutnya berlaku. Beliau banyak menyuarakan pandangan itu dan beliau merasakan bahawa jalan terbaik adalah melepaskan jawatan senior dalam parti.

"Ia satu kehilangan, sebab itu saya sebut Nurul Izzah tidak patut ambil keputusan itu, seharusnya kekal, ada ruang berbeza yang boleh kita beri pandangan dan kita lihat tegas.

"Ada platform kita boleh dilihat berusaha kekalkan idealisme dan juga ingatkan tentang tuntutan rakyat bahawa PH mesti terjemahkan idealisme dan janji," ujarnya.

BACA: Nurul Izzah wanita paling berpengaruh

Namun, kata Saifuddin, Nurul Izzah berpandangan beliau boleh memberi tumpuan lebih berkesan jika kekal menjadi Ahli Parlimen dan anggota biasa parti selain bebas dan tidak terikat dengan struktur dalam membuat keputusan.