Skip to main content

Politik

Speaker DUN Selangor teliti status semua ADUN sebelum buat keputusan

SHAH ALAM, 28 April -- Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San ketika mempengerusikan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke - 15 Tahun 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Lau berkata semakan dibuat tanpa mengira parti dan masih dilakukan bagi memastikan sebarang keputusan adalah berasaskan fakta serta mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. - Foto Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San sedang menyemak status semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kemungkinan berlaku kekosongan pada mana-mana kerusi DUN negeri itu.

Beliau berkata semakan dibuat tanpa mengira parti dan masih dilakukan bagi memastikan sebarang keputusan adalah berasaskan fakta serta mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya akan memberi maklumat selepas semakan kerana sekarang masih dalam siasatan (dan) pemantauan.

“Sekarang kena siasat dan perlu (libat) semua, setiap parti dan setiap penjuru kena disemak. Semua kawasan saya semak kerana takut ada apa-apa kemungkinan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di lobi Wisma Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Lau berkata belum dapat memastikan bila semakan dapat diselesaikan dan akan memaklumkan perkembangan perkara itu selepas semua penelitian dilakukan.

Mengenai kemungkinan terdapat ADUN tidak hadir persidangan DUN kerana isu itu, beliau berkata perkara tersebut tidak boleh dijadikan asas untuk membuat andaian.

“(ADUN) tidak hadir hari ini ada satu, dua (orang) tetapi kena tanya mereka. Tidak hadir tidak semestinya ada masalah. Mungkin beliau tak sempat hadir atau apa-apa. Jangan buat prasangka, kena semak dahulu,” katanya.

Lau berkata mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, ADUN yang tidak menghadiri persidangan DUN selama enam bulan berturut-turut tanpa kebenaran atau makluman rasmi boleh menyebabkan kerusinya dikosongkan.

Bagaimanapun, Lau berkata terdapat ADUN yang telah mengemukakan surat bagi memaklumkan ketidakhadiran mereka atas pelbagai alasan termasuk faktor kesihatan, menyebabkan setiap kes perlu diteliti secara berasingan sebelum keputusan dibuat.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan berhubung kedudukan satu kerusi DUN Selangor dijangka dimuktamadkan minggu ini sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan jika Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan. 

Amirudin berkata kerajaan negeri kini menunggu notis rasmi daripada Speaker DUN Selangor tentang kedudukan kerusi itu manakala Penasihat Undang-Undang negeri sedang menyiapkan nota sebelum perkara tersebut dimaklumkan kepada pihak berkaitan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement