KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hari ini mengulangi kenyataannya bahawa sekurang-kurangnya lapan Ahli Parlimen pembangkang akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Ahli Parlimen terbabit dijangka akan mengisytiharkan sokongan berkenaan pada sidang Parlimen akan datang.

"Masih relevan (kenyataan sebelum ini)...menunggu masanya untuk isytihar (sokong Anwar), ada tujuh ke lapan orang.

"Parlimen belum mula lagi, bila Parlimen mula Februari ini, aktiviti itu bermula balik, mereka tunggu dan lihat apa akan berlaku sepanjang dua bulan ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Termurah, Berkhidmat Untuk Rakyat di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini hari ini.

Disember tahun lepas, Syed Abu Hussin mendakwa kira-kira tujuh atau lapan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Syed Abu Hussin menjadi wakil rakyat pembangkang kelima menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

-- BERNAMA