KUALA LUMPUR: Tanpa UMNO dan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan angka itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya boleh menolak permainan politik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, ia termasuklah berkaitan pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tegasnya, Anwar semestinya tahu harga politik yang perlu dibayar sekiranya diketahui bahawa beliau telah memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan kepada Najib.

“Saya nak jadi budak nakal sikit. Sekarang ini Perdana Menteri sudah ada sokongan daripada Sabah dan Sarawak.

"Tolak BN, masih lagi ada majoriti, masih ada 118 kerusi. Jadi adakah ini masa PMX (PM ke-10) mengatakan bahawa cukuplah…enough is enough?

“Saya tidak mahu jadi tebusan kepada politk Zahid di mana segala-galanya terpaksa dihalalkan, segala-galanya terpaksa diputihkan.

“Jadi saya put my foot down, sebab bagi saya, you do the crime, you serve the time…dan saya cukup tanpa UMNO dan BN,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini Pakatan Harapan (PH) menggunakan alasan terpaksa terima Ahmad Zahid, terpaksa terima ‘perangai’ UMNO kerana enggan kerajaan jatuh kepada Perikatan Nasional (PN).

Begitupun, tegas Khairy, berdasarkan kira-kira kerusi Parlimen, Anwar sebenarnya masih mempunyai majoriti sokongan, meskipun tanpa UMNO dan BN.

Beliau berkata demikian dalam siaran podcast 'Keluar Sekejap' yang turut menampilkan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Walau bagaimanapun, Shahril tidak senada dengan Khairy apabila beliau berpendapat bahawa Anwar akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan kepada Najib.

Menurutnya, sekiranya UMNO tahu Perdana Menteri tidak menyokong usul tersebut, parti itu pasti tidak akan berdiam diri.