KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan keputusan Datuk Ali Biju menarik diri daripada menyertai Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak sebagai satu pengorbanan.

Jelasnya, tindakan berkenaan selari dengan keputusan parti itu dalam menjaga hubungan dengan Parti Gabungan Sarawak (GPS) seperti diumumkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"Saya dan Datuk Seri Azmin Ali (juga) rakan karib beliau (Ali Biju) bekerjasama untuk kita bincang, beri nasihat (dan) akhirnya dapat dia terima.

"Bukan mudah untuk dia buat pengorbanan ini, ini satu daripada pengorbanan dia lakukan, kerana beliau terpaksa turun ke bawah buat penerangan kepada penyokong yang selama ini menyokong beliau sebagai seorang ADUN yang banyak berjasa di kawasan tersebut.

"Ini menunjukkan bahawa komitmen Presiden, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sentiasa mahu melihat apa kita katakan itu dapat ditunaikan sebaik mungkin, saya ucapakan terimas kasih banyak kepada Ali Biju kerana dapat mengikut seperti diumumkan oleh Presiden tempoh hari," jelasnya.

Tambah Hamzah, tindakan Ali Biju itu juga diterima baik oleh Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, ia membuktikan bahawa hubungan di antara dua parti itu sentiasa rapat dan terjaga.

"Ini sesuatu yang baik, saya sendiri telah bercakap Tan Sri Abang Johari tadi mengumumkan ini sesuatu yang baik, dia sendiri menerima (dengan) baik.

"Ini menunjukkan bahawa persahabatan kami, silaturahim di antara Bersatu sentiasa rapat dengan GPS terutama dengan Tan Sri Abang Johari.

"Kita nak lakukan sesuatu bukan untuk kepentingan individu, tetapi keseluruhan bagi seluruh rakyat terutama di Sarawak," jelasnya lagi ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.

Tambah Ahli Parlimen Larut itu, beliau akan berhubung dengan Ali Biju dalam masa terdekat.

Terdahulu, Ali yang juga ahli Bersatu pada Khamis mengumumkan mengundur diri dari menyertai PRN12 sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Krian.

BACA: Ali Biju umum tarik diri, tidak bertanding dalam PRN Sarawak

Menerusi kenyataan, Ahli Parlimen Saratok itu menjelaskan keputusan tersebut dibuat bagi memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS sekali gus menyeru agar semua pengundi di Parlimen Saratok memberi sokongan padu kepada semua calon GPS termasuk calon GPS di Krian Friday Belik.